RANAU: Tambahan peruntukan sebanyak RM1.61 bilion yang diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini akan menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh agenda pembangunan negeri, meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta memperkasa kebajikan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tambahan peruntukan yang merangkumi aspek caruman, operasi dan pembangunan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh Sabah.
Menurut beliau, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur, penyediaan kemudahan awam dan pelaksanaan projek yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Peruntukan pembangunan yang disediakan akan dimanfaatkan sebaiknya bagi memastikan rakyat terus menikmati hasil pembangunan yang inklusif dan menyeluruh,” katanya.
Kenyataan itu disampaikan Setiausaha Politik beliau, Johari Suhaimin, ketika ditemui media selepas mewakili Masidi merasmikan Dewan Serbaguna Kampung Longut Baru, di sini pada Ahad.
Johari berkata, pembinaan dewan serbaguna berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan kemudahan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Menurutnya, dewan itu bukan sahaja menjadi pusat aktiviti komuniti, malah berperanan mengeratkan silaturahim, memperkukuh perpaduan penduduk serta menyokong pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan di Kampung Longut Baru.






