Emas Pertama Buat Malaysia Di Sukan SEA 2017

Emas Pertama Buat Malaysia Di Sukan SEA 2017

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Skuad Sepak Takraw Chinlone menghadiahkan emas pertama negara di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada aksi final acara Chinlone Linking di Stadium Titiwangsa. Kapten pasukan chinlone negara, Izuan Affendi Azlan gembira pengorbanan mereka berlatih di Myanmar akhirnya membuahkan hasil diharapkan apabila merangkul emas pertama Malaysia menerusi acara linking di Sukan SEA.

“Hanya siapa yang bersama kami berlatih di Myanmar tahu mengenai kesukaran dan kepayahan yang perlu kami harungi.

“Kami ke sana tanpa sebarang kemahiran chinlone yang sempurna, hanya dengan teknik sebagai pemain sepak takraw sehingga ada yang kecewa,” jelasnya.

Antara kesukaran yang dihadapi pemain negara yang dihantar berlatih di Myanmar pada awal tahun ini adalah cuaca yang panas mencecah sehingga 40 darjah celcius, berjalan kaki sejauh 10 kilometer ke tempat latihan dan bergelut dengan isu makanan.

“Bagaimanapun semua pengorbanan itu berbalas dengan kejayaan emas ini. Inilah pingat emas pertama selepas kami mencuba sejak edisi 2013.

“Saya berharap ia akan membakar semangat rakan yang lain untuk terus meraih emas kepada negara,” katanya.

Terdahulu, skuad negara yang diketuai Izuan Affendi mempamerkan persembahan meyakinkan apabila menempah tiket ke final bertemu Filipina selepas mengumpul 376 mata di pusingan awal.

Aksi cemerlang itu diteruskan di pentas final apabila mengumpul 391 mata berbanding Filipina yang meraih 271 mata dalam aksi dua set.

Skuad Chinlone (Linking) dibarisi Muhammad Faiz Roslan, Ab Muhaimi Che Bongsu, Mohammad Kamal Aizzat Azmi, Izuan Affendi Azlan, Iskandar Zulkarnain Salim, Putera Aidil Israfil Kamaruzaman, Mohamad Azlan Alias dan Muhammad Zaim Razali.