BANGSAR – Seorang penduduk di Pangsapuri Kondo Rakyat Desa Pantai, Pantai Dalam terkejut melihat objek yang dipercayai peti sejuk dicampak dari tingkat 13, blok 1 di kediaman tersebut pada jam lebih kurang 3.30 petang semalam.
“Nasib baik ketika kejadian tiada sesiapa di kawasan itu,” kata buruh, Dusti Wandi, 24, saksi yang melihat peti sejuk dicampak dari tingkat 13.
Menurutnya, peti sejuk itu jatuh di kawasan parkir motosikal di blok berkenaan dan menimpa beberapa motosikal sehingga tumbang dan rosak.
“Saya dengar bunyi kuat di belakang sebelum melihat rupa-rupanya ada penduduk campak peti sejuk dari atas. Akibatnya, beberapa motosikal tumbang dan ada yang rosak.
“Selepas itu beberapa kereta peronda polis ke lokasi kejadian. Seorang lelaki yang juga penduduk blok itu dibawa menaiki kereta peronda polis,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Siti Hassim, 42, berkata, dia yang tinggal berhampiran rumah lelaki itu pernah terdengar dia mengamuk.
“Sebelum ini, dia pernah pecahkan cermin tingkap dan mengamuk. Tak sangka kali ini dia campak peti sejuk pula,” katanya.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Roslan Khalid ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan daripada penduduk mengenai kejadian itu.
Katanya, lelaki yang membaling peti sejuk itu adalah pesakit mental.
“Lelaki berusia 20-an itu tinggal bersama keluarganya dan mengalami masalah mental.
“Susulan kejadian itu, tiada yang cedera dan polis membawanya ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan,” katanya.
Menurut tinjauan Harian Metro di tempat kejadian mendapati, kawasan itu sudah dibersihkan dengan peti sejuk yang dicampak sudah dialihkan.