Projek Naik Taraf Jalan Berungis–Pekan Tuaran Sedang Berjalan, Siap 2028 – Jasnih

Projek Naik Taraf Jalan Berungis–Pekan Tuaran Sedang Berjalan, Siap 2028 – Jasnih

0
SHARE

TUARAN: ADUN Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya menegaskan projek menaik taraf Jalan Berungis–Pekan Tuaran tidak terbengkalai, sebaliknya sedang berjalan mengikut prosedur meskipun berdepan kekangan teknikal dan pentadbiran.

“Kerja-kerja sudah bermula, bukannya tergendala. Kalau orang Tuaran melalui jalan ini, mereka akan nampak sendiri,” katanya menjawab kritikan Ketua Penyelaras KDM Pantai Dalit, Jaesman Gipin.

Katanya projek sepanjang 2.7 km itu sebahagian Rolling Plan Kedua RMK-12, melibatkan naik taraf dua kepada empat lorong, pembinaan jejambat U-turn dan jambatan baharu.

“Ia dilaksanakan kaedah reka dan bina dengan JKR Malaysia sebagai agensi pelaksana, manakala JKR Sabah sebagai penguasa projek.

“Surat Setuju Terima dikeluarkan Mac 2024, dengan tempoh asal 36 bulan. Namun, disebabkan isu pengambilan tanah serta pengalihan utiliti, projek diberi lanjutan masa dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mac 2028.

“Proses ini kompleks dan melibatkan banyak agensi, tetapi projek tetap diteruskan. Insha-Allah, kita pantau rapat kerana rakyat Tuaran berhak menikmati jalan yang lebih lancar,” katanya.

Beliau menegaskan isu kesesakan ini telah lama diperjuangkan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan menyeru rakyat bersabar kerana projek ini demi kepentingan jangka panjang.