KUALA LUMPUR: Dunia hiburan tanah air menyaksikan kemunculan bakat baharu apabila penyanyi muda Isa Azry tampil dengan single sulungnya berjudul “Nadhif”, sebuah balada penuh emosi yang mengangkat kisah kasih sayang dan pengorbanan seorang ibu.
Lagu ciptaan bersama Jeremy Erskine, Amyr Abadawn dan Magix Mpire ini diterbitkan di bawah hakcipta dan edaran Luncai Emas Sdn. Bhd., manakala proses rakaman dijalankan di Exuism Record, Singapura dengan sentuhan penerbit Amyr Abadawn dan Magix Mpire.
Lirik “Nadhif” mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita sejak zaman remaja hingga bergelar tulang belakang keluarga, satu penghormatan buat semua ibu yang mencintai dan berkorban dalam diam.
“Jutaan terima kasih pada semua yang terlibat dalam menjayakan lagu ini. Dengan rasa rendah diri, saya berbesar hati kerana Luncai Emas menerima karya ini sebagai permulaan langkah saya dalam dunia muzik,” kata Isa Azry yang berasal dari Perak dan kini aktif di platform TikTok.
Walaupun masih baharu, Isa berjaya membawa penghayatan penuh ikhlas dalam menyampaikan lagu ini. Dengan susunan muzik yang lembut dan vokal yang menyentuh, “Nadhif” menjadi sebuah peringatan abadi bahawa kasih seorang ibu tiada gantinya.
Para komposer turut menzahirkan rasa syukur atas peluang berkarya.
“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana diberi peluang menghasilkan lagu Nadhif. Ia ditujukan khas buat para wanita dan anak-anak di luar sana untuk mengingatkan betapa pentingnya menghargai pengorbanan seorang ibu selagi masih ada peluang,” jelas mereka.
Video muzik “Nadhif” kini boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas, manakala lagu penuh boleh distrim di semua platform digital termasuk Spotify dan Apple Music.






