LAHAD DATU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu menggagalkan cubaan menyeludup 4,080 kilogram minyak masak bersubsidi yang disorok dalam sebuah bot kargo di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem pada jam 10.15 malam Khamis.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, penahanan dibuat berikutan maklumat awam berkaitan aktiviti mencurigakan di jeti Pangkalan Nelayan Silam Kem.
“Berikutan itu, sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah diaturgerak ke lokasi bersama pasukan darat bagi pemeriksaan dan serbuan…
“Hasil serbuan melalui laut dan darat telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan bersama empat warga asing berusia diantara 20 ke 50 tahun,” katanya.
Menurut beliau, semasa serbuan, kesemua suspek didapati sedang memunggah kotak berisi minyak masak dari lori ke bot dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Selain itu, sebuah bot kargo, dua buah lori berisi 240 kotak minyak masak dianggarkan berjumlah 4080 kilogram dan dua buah motosikal yang digunakan di dalam kegiatan ini turut dirampas,” jelasnya.
Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM234,096.
Berdasarkan kuota pembelian minyak masak bersubsidi yang dibenarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bagi setiap isi rumah adalah sebanyak dua kilogram sahaja di dalam satu masa.
“Kegiatan haram ini telah memberi kesan kepada 2,040 buah keluarga di Sabah dan daerah Lahad Datu khususnya.
“Kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut,” kata Rizam sambil menambah kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.