LABUAN – Seorang wanita kehilangan RM 50,000 selepas menjadi mangsa ‘macau scam’ oleh seorang individu yang menyamar sebagai pegawai bank.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, mangsa telah memberikan maklumat peribadinya kepada suspek melalui panggilan telefon pada sebelah tengah hari Isnin.
Mangsa yang bekerja sebagai pengurus bahagian pentadbiran sebuah syarikat dihubungi suspek semasa mangsa berada di pejabatnya di Patau-Patau.
“Dalam panggilan itu suspek mendakwa bahawa kad kredit atas nama mangsa mempunyai sebanyak tiga transaksi berjumlah RM15,991…
“Ini menyebabkan mangsa terkejut dan menafikan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad berkata mangsa diarahkan suspek untuk memberi butiran peribadi bagi tujuan pengesahan dan tanpa befikir panjang terus memberikannya.

“Panggilan terbabit kemudiannya disambung kepada suspek kedua kononnya seorang Pegawai Bank Negara Malaysia…
“Selepas itu seorang individu lelaki yang mengaku sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor dari Bukit Aman menghubungi mangsa untuk mengendalikan kes tersebut,” katanya.
Mangsa mula menyedari dirinya ditipu dan menghubungi pihak bank akaun milikinya dan dimaklumkan wang sebanyak RM50,000 sudah dipindahkan keluar.
“Mangsa akhirnya datang ke balai polis untuk melaporkan kejadian kepada pihak polis,” kata Ahmad sambil menambah kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau menasihati orang ramai untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi terutamanya kewangan melalui telefon atau media sosial kepada individu tidak dikenali.
“Buat semakan terlebih dahulu di aplikasi Check Scammers CCID jika dihubungi nombor telefon tidak dikenali,” tegasnya.






