KPDNHEP Kenakan Tindakan Terhadap 9 Premis Makanan Sekitar Sabah

KPDNHEP Kenakan Tindakan Terhadap 9 Premis Makanan Sekitar Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sembilan (9) premis makanan sekitar Sabah telah dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam OPS MENU.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, operasi berkenaan telah dijalankan sejak 5 November dengan tujuan mengelakkan penipuan harga.

“Fokus pemeriksaan adalah terhadap premis yang menyediakan makanan siap masak seperti restoran dan kedai makan Melayu, Cina, India, medan selera dan restoran makanan laut…

“Pemeriksaan dilakukan ke atas peniaga restoran dan kedai makan supaya mereka patuh kepada perundangan berkaitan tanda harga serta penggunaan alat timbang,” katanya.

Georgie berkata sejak pelancarannya, OPS MENU telah memeriksa sebanyak 874 premis di sekitar negeri ini.

“Terdapat empat (4) kes yang melibatkan kegagalan peniaga meletakkan tanda harga yakni satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Perkhidmatan) 2020…

“Keempat-empat kes terbabit telah dikompaun dengan jumlah RM 1,200.00…

“Seterusnya, lima (5) kes dihasilkan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana peniaga gagal menentusahkan alat timbang yang digunakan untuk tujuan perdagangan.

“Empat (4) daripada lima (5) kes tersebut telah dikompaun dengan jumlah RM1,000 manakala satu kes masih dalam siasatan lanjut,” jelasnya.

Georgie menasihatkan pengguna agar lebih bijak memilih restoran dan kedai makan yang beretika.

“Pastikan tanda harga dipamerkan dengan jelas oleh peniaga serta alat timbang yang digunakan di restoran dan kedai makan adalah masih sah tempoh penentusahannya bagi mengelakkan diperdaya oleh segelintir peniaga yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.