PBT HARUS PASTIKAN TIADA PENYELEWENGAN DALAM PROGRAM PPR: KM HAJIJI

PBT HARUS PASTIKAN TIADA PENYELEWENGAN DALAM PROGRAM PPR: KM HAJIJI

0
SHARE
KOTA KINABALU, 15 Sept -- Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor ketika temu bual bersama Bernama berhubung sambutan Hari Malaysia di pejabatnya semalam. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA *** Local Caption ***

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT) di Sabah memantau Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan masing-masing bagi memastikan tiada penyalahgunaan program itu oleh penerima.

Beliau berkata terdapat kes di mana pemohon yang berjaya dalam program itu telah menyewakan rumah mereka kepada orang lain untuk mengaut keuntungan segera.

“Tindakan mereka menunjukkan mereka tidak memerlukan rumah itu sekaligus menafikan orang lain yang layak mendapat kemudahan sedemikian.

“Justeru, saya mahu semua PBT meneliti semua permohonan dan memantau dengan ketat pelaksanaan program PPR di kawasan mereka.

“Mengikut perjanjian, mereka yang mendapatkan rumah di bawah program PPR tidak dibenarkan untuk disewakan,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (MLGH) di Wisma Innoprise, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut mendedahkan kerajaan negeri telah memohon 5,000 rumah PPR untuk Sabah tahun depan.

“Saya telah berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan (Nga Kor Ming) baru-baru ini dan meminta 5,000 rumah PPR untuk Sabah dimasukkan ke dalam bajet kementerian untuk tahun depan,” katanya.

Hajiji turut menggesa semua PBT supaya lebih banyak mengadakan program kesedaran kebersihan di kawasan masing-masing.

Mengenai isu jajahan setinggan yang dibangkitkan semasa taklimat oleh Setiausaha Tetap KKPT, Datuk Dr Jamili Nais, Hajiji berkata adalah mustahak unit penguatkuasa kerajaan tempatan menangani perkara itu dari awal.

“Sekiranya mereka melihat beberapa binaan didirikan di tanah kawasan mereka, mereka harus menghentikannya.

“Jangan tunggu sehingga masalah menjadi penempatan setinggan sepenuhnya yang kemudiannya akan menyebabkan komplikasi lanjut,” katanya.

Dalam taklimatnya, Dr Jamili berkata terdapat 281 kawasan setinggan di Sabah, yang tertinggi di ibu negeri, diikuti Sandakan dan Tawau, sambil menambah tiga daerah iaitu Kota Belud, Tuaran dan Ranau mempunyai sifar penempatan setinggan.

Sementara itu, Hajiji turut mengarahkan pegawai PBT supaya lebih proaktif dan kerap melakukan pemeriksaan terhadap kemudahan awam seperti perparitan dan lampu jalan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata pelbagai pendekatan telah diambil dan dilaksanakan bagi memastikan kesemua 25 PBT, jabatan dan agensi di bawah kementerian itu bergerak aktif.

Beliau berkata, tiga PBT berstatus majlis perbandaran berikutan peningkatan Majlis Daerah Penampang baru-baru ini.

Joachim berkata beliau telah memberi penekanan kepada pembasmian kemiskinan di kawasan pentadbiran PBT dan mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan isu tanah jajahan setinggan.

“Penyelesaian isu setinggan memerlukan pendekatan bersepadu melibatkan semua agensi berkaitan di negeri ini,” katanya.