Tirai Saingan PRN Enam Negeri Bermula Hari Ini

Tirai Saingan PRN Enam Negeri Bermula Hari Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Tarikh 29 Julai hari ini menyaksikan Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang mana bermulalah tirai saingan bagi memilih kerajaan baharu di enam negeri yang terlibat dengan PRN.

Sebaik selesai proses penamaan calon bagi PRN Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tumpuan pasti terarah kepada ‘pertembungan’ dua gabungan terbesar iaitu parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan dengan Perikatan Nasional (PN).

Memetik laporan Berita Harian, berdasarkan pengumuman calon sejak beberapa hari lalu, kedua-dua pihak akan meletakkan sandaran calon di semua 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain penampilan calon dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan bebas.

Kerajaan Perpaduan diwakili Pakatan Harapan (PH) yang terdiri PKR, DAP dan AMANAH; Barisan Nasional (BN) pula diwakili UMNO, selepas MCA dan MIC memutuskan untuk tidak bertanding, manakala PN diwakili tiga parti komponennya iaitu PAS, BERSATU dan GERAKAN.

PH mengetuai armada Kerajaan Perpaduan apabila memperoleh 56 peratus atau 137 kerusi di enam negeri.

Daripada jumlah itu, PKR mendapat jumlah terbanyak dengan 58 kerusi, disusuli DAP (47) dan AMANAH (31), manakala BN akan bertanding di 108 kerusi.

PAS pula mengetuai batalion PN dengan mempertaruhkan 127 calon atau 52 peratus daripada 245 kerusi yang ada di enam negeri, manakala BERSATU bakal meletakkan 80 calon dan GERAKAN 36 calon.

Tekanan di hadapi kedua-dua pihak untuk menang dalam PRN kali ini untuk menjadikan kemenangan sebagai kayu ukur penerimaan rakyat, menyebabkan parti bertanding menggunakan pelbagai taktik dan strategi bagi menarik sokongan pengundi, termasuk menyentuh isu 3R (agama, kaum dan institusi Raja).

Begitupun saingan Parti MUDA turut menarik tumpuan kali ini apabila meletakkan 20 calon di empat negeri, dengan 14 di Selangor, tiga di Pulau Pinang, dua di Negeri Sembilan dan seorang di Terengganu.

Semua kerusi DUN yang mahu ditandingi MUDA di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan disandang oleh PH, manakala satu kerusi satu kerusi di Terengganu disandang PAS.

Rata-rata, penganalisis dan pemerhati politik berpandangan status quo itu kekal selepas PRN, namun kedua-dua pihak yang bertanding pasti enggan menerima hakikat itu, dengan PH/BN dilihat memberi tumpuan utama untuk merampas Kedah, manakala PN yakin mampu menawan Selangor.

Justeru, Kedah dan Selangor dijangka menjadi tumpuan utama dalam PRN kali ini berikutan kedua-dua negeri itu dilihat sebagai sasaran paling realistik untuk dirampas PH/BN dan PN.

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persiapan akhir menjelang hari penamaan calon di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.40 Kota Anggerik dan N.41 Batu Tiga di Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) semalam…(Sumber Foto: Bernama)

Di Selangor, tumpuan terarah pada pertembungan antara Pengerusi PN negeri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menentang bekas anak buahnya, Juwairiya Zulkifli di DUN Hulu Kelang.

Juwairiya juga adalah Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga bekas protege Mohamed Azmin.

Mohamed Azmin yang disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Selangor jika PN menawan negeri itu, meninggalkan DUN Bukit Antarabangsa yang disandangnya selama tiga penggal sejak PRU12 pada 2008.

Strategi PN meletakkan Mohamed Azmin di Hulu Kelang dilihat memberi peluang untuk bekas Menteri Besar Selangor itu memberi tentangan sengit kepada Juwairiya kerana PN memiliki jumlah pengundi yang agak ramai di situ berbanding di dua kerusi lain dalam Parlimen Gombak, berdasarkan undian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, usaha PN mahu merampas Selangor mungkin terjejas selepas wujud ketidakpuasan dalam kalangan anggota BERSATU terhadap pemilihan calon, antaranya Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Dr Muhammad Faiz Na’aman menyindir Mohamed Azmin di media sosial baru-baru ini.

Amirudin pula yang diumum akan kekal sebagai Menteri Besar Selangor jika PH/BN menang di negeri itu, kekal mempertahankan DUN Sungai Tua yang disandangnya sejak 2008 dan dijangka tidak berdepan cabaran besar menentang calon kurang dikenali, Azhar Hambali.

Di Pulau Pinang, Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow yang akan menentang H’ng Khoon Leng daripada GERAKAN, dijangka tidak berdepan cabaran sengit untuk mempertahankan kerusi DUN Padang Kota yang dimenanginya sejak 2008, sekali gus kekal sebagai Menteri Besar PH/BN kekal menang di Pulau Pinang.

Namun, isu sabotaj mungkin memberi kesan pada rentak PH di negeri itu selepas segelintir penyokongnya tidak berpuas hati apabila Dr P Ramasamy digugurkan daripada kerusi Perai.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, yang mungkin diangkat sebagai Timbalan Ketua Menteri, berpeluang menang di DUN Bertam selepas undian di saluran DUN itu ketika PRU15 memihak pada BN, namun dijangka berdepan cabaran sengit daripada calon PN, Khaliq Mehtab Mohd Isyaq.

Di Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengetuai jentera PN di negeri itu, dijangka mampu menang besar di DUN Jeneri, manakala Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Mahfuz Omar berdepan tugas sukar untuk masing-masing menang di Pedu dan Mengkudu.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor…

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob juga dijangka tidak berdepan tugas sukar untuk menang di Pasir Pekan, begitu juga Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Ru Redang.

Di Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun juga dijangka boleh mempertahankan DUN Sikamat, namun berkemungkinan tidak kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan yang dijangka diberikan kepada BN.

Calon utama BN di Negeri Sembilan seperti Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Jalaluddin Alias, yang berpotensi diangkat sebagai Menteri Besar, juga diramalkan mampu menang selesa, masing-masing di Rantau dan Pertang.

Datuk Seri Mohamad Hassan (Tok Mat)…

Namun, gerak kerja PH/BN di Negeri Sembilan ketika ini dilihat terjejas selepas wujud bantahan daripada beberapa pemimpin AMANAH yang tidak berpuas hati dengan pemilihan calon negeri itu, termasuk ada yang mahu turun menentang calon UMNO kali ini.