RANAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Pendidikan Masyarakat (PENMAS) bersama Unit Integriti MARA meneruskan usaha advokasi antirasuah dengan menganjurkan Kem Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) IPMa Siri 2, 2025 di Damai Eco Ranch, Ranau, 22–24 Ogos lalu.
Seramai 81 pelajar Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu pelbagai jurusan, termasuk Diploma Kompetensi Elektrikal dan Diploma Teknologi Automotif, menyertai kem berkenaan.
Pengarah PENMAS, Datuk TPj Ahmad Nizam Ismail menekankan kepentingan pelajar TVET menjunjung nilai integriti akademik sebagai asas melahirkan graduan berdaya saing.
“Integriti akademik adalah keaslian dalam tugasan serta ketelusan dalam penilaian, asas yang tidak boleh dikompromi,” katanya.
Beliau menegaskan SPRM melihat integriti akademik sebagai pelaburan jangka panjang negara bagi melahirkan pemimpin bebas rasuah dan penyelewengan.
Sejak 2013, sebanyak 55 AMAR ditubuhkan di seluruh negara sebagai bukti komitmen UI MARA menyebarkan nilai integriti.
Pengarah MARA Sabah, Dr Shahrizin Abdul Sarhadat pula menyambut baik program itu dan mahu kerjasama seumpamanya diteruskan.
“Pengukuhan nilai integriti perlu diterapkan dalam diri setiap pelajar sebagai benteng moral,” katanya.
Turut hadir, Pengarah SPRM Sabah, Datuk TPj Fuad Bee Basrah, Pengarah IKM Kota Kinabalu, Abdul Munap Tahir dan Pengetua MRSM Ranau, Ismail Badri.






