MESIR – Seorang lelaki di sini bertindak membunuh isterinya di hadapan anak-anak dengan menghentak kepala isterinya itu ke dinding beberapa kali sehingga tidak sedarkan diri
Menurut Polis Mesir yang dipetik Gulf News, suspek yang berusia 50 tahun itu mengaku membunuh isterinya selepas bertengkar dan bengang dengan mangsa yang terlalu banyak bercakap.
Keesokan paginya, suspek keluar dari rumah untuk pergi bekerja dan meninggalkan isterinya di dalam bilik kerana menyangka dia sedang tidur. Tidak beberapa lama kemudian, dia menerima panggilan telefon dari anaknya yang memberitahu ibunya telah meninggal dunia.
Suspek yang mendengar berita itu terus bergegas pulang ke rumah untuk memeriksa keadaan isterinya.
Anak-anaknya sempat berkata; “Kami dah cuba bangunkan ibu, tetapi ibu sudah tidak bernyawa.”
Susulan itu, suspek segera membawa mangsa ke hospital tetapi doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Pemeriksaan mendapati ada kesan-kesan lebam di badan mangsa menyebabkan doktor segera membuat laporan polis.
Ketika disoal siasat, suspek menafikan dakwaan kononnya dia sengaja membunuh isterinya. Jelasnya, mereka hanya bertengkar seperti mana pertengkaran yang biasa berlaku pada mana-mana pasangan.
Suspek turut memaklumkan isterinya menghidap diabetes dan hipertensi dengan mengatakan ada kemungkinan dia jatuh koma atau mengalami depresi.