PIBG Diingatkan Elak Kegiatan Menggugat Kestabilan Sistem Persekolahan

PIBG Diingatkan Elak Kegiatan Menggugat Kestabilan Sistem Persekolahan

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan IbuBapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah diingatkan supaya tidak sekali-kali membabitkan persatuan dan sekolah dengan apa juga kegiatan yang boleh menggugat kestabilan sistem persekolahan dan perpaduan masyarakat setempat.

Setiausaha Perhubungan Awam kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Romeo Ansow berkata, jika keadaan ini berlaku, dikhuatiri persatuan akan menyeleweng daripada matlamat asal penubuhannya, dan akhirnya akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.

Ini sekaligus akan merugikan pendidikan anak-anak murid di sekolah, tambahnya.

“Guru Besar dan Pengetua selaku ex-officio dan Penasihat PIBG hendaklah memaklumkan kandungan Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan IbuBapa-Guru) 1998 kepada semua ahli jawatankuasa PIBG yang dilantik dan ibu bapa keseluruhannya agar dipatuhi pada setiap masa,” katanya semasa mewakili Menteri Datuk Yakub Khan merasmikan Majlis Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Tebobon, Kota Kinabalu kali ke-19 hari ini.

Romeo (tengah) bergambar kenangan bersama dengan ibu bapa dan warga pendidik dalam Mesyuarat Agung Tahunan PIBG SMK Tebobon kali ke -19, hari ini…

Selain itu, beliau juga mengingatkan bahawa kecemerlangan anak-anak sebenarnya bermula di rumah.

Sebagai ibu bapa, katanya, mereka yang akan menentukan sama ada anak-anak mereka terdidik dengan nilai-nilai yang murni dan mempunyai kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan segala gejala negative di luar rumah.

“Jelas, tanggungjawab menentukan keperibadian anak-anak sebenarnya tanggungjawab ibu bapa…

“Amat tidak adil untuk melepaskan tanggungjawab ini sewenang-wenang ke atas bahu guru dan pihak sekolah.

“Dalam konteks ini, PIBG sekolah perlulah bersikap proaktif untuk menyumbang ke arah usaha tersebut selain daripada membantu dalam kebajikan pelajar, guru dan juga pembangunan sekolah,” ujarnya.

Mengenai majlis tersebut, Romeo berkata, ianya amat bermakna, di mana pihak sekolah dan ibu bapa dapat bertemu untuk berbincang dan mencari kata sepakat demi kepentingan dan masa depan anak-anak.

“Permuafakatan seumpama ini sebagai Keluarga Malaysia menjadi kunci kejayaan PIBG dan sekolah dengan mengambil kira batasan-batasan kuasa PIBG…

“Selain kita memilih membincangkan usul-usul daripada ibu bapa dan diharapkan juga mesyuarat PIBG pada pagi ini akan berbincang dan mendapat persetujuan bersama dan akhirnya mengambil keputusan yang terbaik tanpa perselisihan faham,” katanya.