KOTA KINABALU, SABAH – Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) menggesa orang ramai mengamalkan penggunaan makanan secara berhemah dengan hanya memesan mengikut keperluan bagi mengelakkan pembaziran.
Menurutnya, pembaziran makanan merupakan isu moral, sosial dan ekonomi yang memberi kesan besar, ketika jutaan penduduk dunia masih berdepan kelaparan dan kekurangan zat makanan.
“Setiap makanan yang dibazirkan bukan sahaja merugikan pengguna, tetapi turut membazirkan sumber seperti tenaga kerja, air, tenaga dan hasil pertanian,” menurut kenyataan itu.
YPNM berkata amalan memesan secara sederhana membantu menjimatkan kos sara hidup dan menyokong kelestarian sistem makanan negara.
Katanya, di beberapa negara, restoran turut mengenakan penalti terhadap pelanggan yang meninggalkan lebihan makanan bagi mendidik masyarakat agar lebih menghargai makanan.
YPNM menyatakan sokongan terhadap usaha kerajaan meningkatkan kesedaran awam dan menegaskan pengurangan pembaziran makanan adalah tanggungjawab bersama demi kestabilan rantaian bekalan dan keselamatan makanan global.






