TENOM, SABAH – Kerajaan melalui RISDA memperuntukkan RM22.308 juta bagi memperkasa komuniti pekebun kecil Sabah sepanjang 2026 menerusi pelbagai program pembangunan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, RISDA Daerah Keningau turut menerima RM4.66 juta untuk pelaksanaan program di daerah itu.
“Peruntukan ini melibatkan bantuan bagi tiga komponen utama iaitu Program Penanaman Semula Getah dan Bekalan, Program Produktiviti dan Pemasaran, serta Program Pengembangan dan Perancangan,” katanya ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur RISDA Sabah 2026 di Tenom.
Beliau berkata program itu membantu pekebun kecil memperoleh maklumat terkini bagi meningkatkan pulangan dan menyokong pembangunan desa mampan, selain menjadi platform mengangkat komuniti desa selari Aspirasi Desa MADANI.
Menurut Jamawi, pekebun kecil perlu digalakkan mempelbagaikan sumber pendapatan berikutan harga getah dunia yang mencabar.
Rekod Banci Pekebun Kecil Getah 2023 menunjukkan 24,443 hektar kebun getah matang di Sabah tidak lagi diusahakan, sekali gus menyumbang kepada penurunan pengeluaran getah negara.
“Keadaan ini menyumbang kepada trend penurunan pengeluaran getah asli negara yang bukan sahaja menjejaskan pendapatan pekebun kecil, malah memberi kesan kepada sumbangan sektor komoditi getah terhadap ekonomi negara,” katanya.
Tambah beliau, RISDA Sabah turut menerima RM1.5 juta bagi meningkatkan produktiviti kebun melalui program pemulihan getah terbiar, insentif pengeluaran lateks dan penyediaan prasarana ladang.
Jamawi yakin kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan sektor getah dan menggesa pekebun kecil bekerjasama rapat dengan RISDA serta LIGS bagi memastikan kebun diusahakan secara lebih produktif.






