Dua Pemandu Lori Maut Bertembung

Dua Pemandu Lori Maut Bertembung

0
SHARE
Dua pemandu lori masing-masing menemui ajal ketika bertembung di Jalan Kampung Bauto, Telupid pagi Isnin... - Foto ihsan Bomba Sabah

TELUPID, SABAH – Dua pemandu lori masing-masing menemui ajal ketika bertembung di Jalan Kampung Bauto sini pagi Isnin.

Kemalangan 10.25 pagi itu melibatkan sebuah lori muatan kayu balak bertembung dengan sebuah lori trailer.

Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba, kedua-dua pemandu dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan jentera.

“Mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pasukan Perubatan. Pasukan Bomba hanya menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada kemerbahayaan lain.

“Mangsa lelaki yang terlibat diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 12.20 tengah hari,” kata jurucakap agensi berkenaan.

Sementara itu, di Beaufort, seorang lelaki berumur 53 tahun yang dikhuatiri lemas telah dijumpai hari ini selepas tiga hari operasi pencarian.

Di BEAUFORT, seorang lelaki berumur 53 tahun yang dikhuatiri lemas telah dijumpai hari ini selepas tiga hari operasi pencarian… – Foto ihsan Bomba Sabah

Mangsa, Mao Sai Bin Bongkok, ditemui pada di sekitar perairan sungai Kampung Batu 64 pagi tadi.

Menurut Komander Operasi, PPgB Mohamad Hasbullah Nenggok, operasi dipecahkan kepada dua kumpulan.

“Kumpulan pertama menggunakan satu bot bomba dan satu bot Angkata Pertahan Awam di Batu 59 Kg Gadong.

“Manakala kumpulan kedua menggunakan empat bot terdiri daripada orang kampung dari Batu 64 ke Batu 60.

“Mangsa telah dijumpai oleh orang awam di Batu 58 Kg Jimpangah dan mangsa seterusnya dibawa ke jambatan pekan Beaufort untuk pengecaman untuk pengesahan identiti…

“Mangsa diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 2.30 petang,” katanya.

Terdahulu, pada Sabtu, mangsa bersama seorang rakan difahamkan menarik kabel dalam sampan namun kabel tersebut tersangkut pada kipas bot mengakibatkan bot yang dinaiki terbalik.

Rakannya sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing namun mangsa dibawa arus sungai.