PUTATAN, SABAH – Komuniti setempat diminta meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan kebakaran bagi mengelakkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.
ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata penduduk perlu lebih cakna terhadap hebahan keselamatan dan mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
“Saya menyeru kepada para penduduk di Putatan supaya meningkatkan kesedaran mereka terhadap risiko-risiko kebakaran ini.
“Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah aspek keselamatan terutama di kediaman masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program derma darah anjuran Persatuan Bulan Sabit Putatan dengan kerjasama BBP Putatan.
Shah Alfie yang diwakili PPM Tanjung Keramat, Latip Jiar, berkata program itu menjadi medium merapatkan komuniti sambil membantu menambah bekalan darah hospital.
“Program ini bukan sahaja mendekatkan pihak berkuasa atau agensi kerajaan bersama masyarakat awam, bahkan ia dapat menyumbang kembali kepada mereka yang memerlukan khususnya stok bekalan darah yang sentiasa diperlukan di fasiliti hospital,” katanya.






