KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Sabah sedang dalam perancangan untuk menyerahkan jentera khas, iaitu ‘Volunteer Fire Rescue Tender’ (VFRT) kepada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.
Timbalan Pengarah JBPM negeri Sabah, Farhan Sufyan Borhan berkata, jentera itu akan diserahkan secara berfasa dan dimulakan tahun ini yang melibatkan lima pasukan termasuk PBS Lahad Datu, Sook, Ranau, Kudat dan Beluran.
“Jentera itu kita akan serahkan dalam masa terdekat insyaAllah untuk fasa pertama ini kita akan serah pada bulan sembilan atau sepuluh tahun ini.
“Penyerahan jentera ini akan diteruskan sehinggalah tahun 2026,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Konvensyen Pasukan Bomba Sukarela Zon Borneo 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Farhan turut berharap agar penyerahan jentera itu dapat membantu pasukan bomba di kawasan berisiko yang tidak mempunyai Balai Bomba serta memerlukan bantuan segera.
“Harapan kita, dengan adanya jentera ini mereka yang akan menjadi ‘First Responden’ kepada sebarang risiko yang memerlukan bantuan cepat sekiranya berlaku kebakaran atau kejadian kecemasan, itu yang penting.
“Kita juga berharap agar mereka lebih aktif dalam membantu bukan sahaja kita di jabatan tapi yang paling penting adalah komuniti mereka sendiri,” tegasnya.






