DHAKA, BANGLADESH – Bangladesh Bank telah diarahkan untuk membekukan akaun bank bekas pembantu peribadi Perdana Menteri Sheikh Hasina iaitu Jahangir Alam serta isterinya Kamrun Nahar dan mana-mana organisasi yang mereka miliki.
Jahangir Alam menjadi tumpuan tahun lalu selepas dakwaan mengumpul kekayaan haram serta rasuah lain dengan menggunakan kedudukannya.
Sheikh Hasina tanpa menamakan Jahangir, baru-baru ini berkata seorang bekas pembantunya kini memiliki RM159,217,200.
“Dia tidak akan bergerak ke mana-mana tanpa menggunakan helikopter…
“Bagaimana dia dapat duit sebanyak itu? Saya mengambil tindakan sebaik tahu mengenai hal itu,” The Business Standard memetiknya sebagai berkata semasa sidang media pada Isnin.
Susulan itu, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Bangladesh juga telah meminta bank-bank berkenaan untuk menyerahkan semua maklumat termasuk borang pembukaan akaun dalam tempoh lima hari.
Jahangir berkhidmat sebagai pembantu peribadi perdana menteri selama dua penggal berturut-turut serta sekian lama dalam penggal terakhir.
Kemudian, beliau disingkirkan daripada jawatan itu di atas pelbagai dakwaan melibatkan unsur rasuah dan penyelewengan.
Namun beliau masih melakukan pelbagai tindakan tidak beretika dengan menyamar sebagai pembantu peribadi kepada Perdana Menteri.
Dalam konteks ini, satu amaran khas telah diterbitkan Pejabat Perdana Menteri mengenai Jahangir pada Disember tahun lalu.
Notis itu menyatakan bahawa Jahangir tidak mempunyai hubungan dengan perdana menteri atau Pejabat Perdana Menteri.
Bukti awal menunjukkan bahawa Jahangir memiliki beberapa plot dan flat di Dhaka, termasuk flat seluas 2,500 kaki persegi di Dhanmondi atas nama isterinya, sebuah rumah lapan tingkat di Harinarayanpur, bandar Maijdi Noakhali, dan dua kedai di Mohammadpur dan New Market.
Dia juga memiliki bangunan tujuh tingkat dan dua flat di Mirpur 1.
Jahangir Alam berasal dari kampung Naharkhil Khilpara kesatuan Chatkhil upazila Noakhali.
Meskipun dengan reputasi tercemar, beliau kekal sebagai Naib Presiden Parti Liga Awami Daerah Noakhali.
Sebelum memasuki politik, menjual air teh merupakan periuk nasinya. Mengendalikan gerai teh di Mirpur dan menjaja teh semasa perhimpunan politik di Paltan memberikannya jolokan “Si Cerek”.
Nama itu akan terus digunakannya dalam arena politik.






