SANDAKAN, SABAH – Budaya makanan tradisional penting dalam menghubungkan generasi serta memperkukuh perpaduan masyarakat majmuk, kata Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam.
Menurutnya, makanan tradisional bukan sekadar hidangan, tetapi lambang warisan, sejarah dan jati diri kaum yang diwarisi turun-temurun.
“Melalui makanan, kita mengenang asal-usul dan jasa nenek moyang, di samping menyemai nilai hormat, kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Festival Makanan Tradisional Cina 2026 di sini, pada Ahad.
Joachim berkata sekurang-kurangnya 15 etnik Cina di Sandakan memiliki keunikan budaya dan tradisi masakan tersendiri, justeru penglibatan aktif persatuan etnik penting bagi memelihara warisan budaya.
“Festival seperti ini bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian masakan tradisional, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk berinteraksi serta saling memahami,” katanya.
Beliau turut menghargai penganjuran festival berkenaan dan berharap ia diteruskan sebagai acara tahunan yang menyatukan masyarakat Sabah.
Dalam perkembangan lain, Joachim berkata kementeriannya komited menambah baik kestabilan bekalan air di Sandakan dan akan mengadakan lawatan kerja ke beberapa kawasan di Sandakan, Kinabatangan dan Telupid bagi menilai isu berkaitan utiliti, infrastruktur dan kemudahan asas.






