TAWAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh oleh sebuah van di Jalan Merotai Bombalai di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 7.45 malam, semalam.
“Siasatan di lokasi kejadian mendapati kemalangan itu membabitkan dua motosikal dan sebuah van.
“Mangsa berusia 21 tahun bersama seorang lagi penunggang motosikal menuju ke Merotai, manakala pemandu van pula dari arah Keningau menuju bandar Tawau,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Jelasnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dilaporkan hilang kawalan dan melanggar sebuah lagi motosikal di laluan yang sama.
Menurut beliau, mangsa terjatuh ke laluan bertentangan dan dirempuh oleh van yang ketika itu sedang melalui jalan berkenaan.
“Mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Seorang lagi penunggang motosikal terbabit mengalami cedera ringan, manakala pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.