KUALA LUMPUR – Lebih 100 kedai KFC ditutup buat sementara waktu di seluruh negara berikutan boikot yang telah dijalankan selama kira-kira enam bulan sekarang.
Ia dilapor akhbar harian Cina Nanyang Siang Pau yang memetik data daripada Peta Google.
Business Times menghubungi QSR Brands (M) Holdings Bhd untuk mendapatkan ulasan namun tidak mendapat maklum balas.
Boikot seluruh negara terhadap kedai Starbucks, McDonalds dan KFC telah berterusan sejak bermulanya konflik Israel-Palestin pada Oktober 2023.
Laporan Nanyang berkata lebih 10 peratus cawangan KFC di seluruh negara telah menggantung operasi.
Ianya sebanyak 108 kedai di seluruh negara yang telah ditutup buat sementara waktu setakat 27 April.
Kelantan adalah yang paling teruk terjejas, dengan hampir 80 peratus (80%) atau sehingga 21 cawangan ditutup buat sementara waktu.
KFC telah menjadi sebahagian daripada negara kita selama lebih 50 tahun, mempunyai lebih daripada 700 cawangan di seluruh negara.
QSR, entiti yang menyelia francais KFC di Malaysia, juga menguruskan restoran di Singapura, Brunei, dan Kemboja, bersama-sama dengan lebih 480 kedai Pizza Hut di seluruh Malaysia dan Singapura.
Johor Corporation (JCorp), cabang pelaburan negeri Johor, memegang pegangan terbesar dalam QSR, yang, bersama anak syarikatnya KFC Holdings (M) Bhd, telah diswastakan pada Februari 2013.