PUASA PERTAMA WARGA TAWAU TERBATAL KERANA KEKELIRUAN AZAN MAGHRIB DI RADIO

PUASA PERTAMA WARGA TAWAU TERBATAL KERANA KEKELIRUAN AZAN MAGHRIB DI RADIO

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Puasa bagi penduduk sekitar Tawau yang berbuka 4 minit lebih awal daripada waktu sebenar kerana mengikut azan di stesen radio tempatan daerah tersebut dikira terbatal.

Mufti Negeri Sabah Datuk Ustaz Bungsu @ Aziz Jaafar dalam satu kenyataan hari ini berkata, wajib ke atas mereka yang terlibat menggantikan puasa mereka itu setelah berakhirnya bulan Ramadhan.

“Waktu berbuka puasa adalah bersandarkan kepada terbenamnya matahari berdasarkan nas syarak dan bukannya bersandarkan kepada laungan azan di radio atau seumpamanya serta keadaan langit pada ketika itu…

“Usaha pihak radio mengumandangkan azan sebagai tanda masuk waktu dan berbuka merupakan usaha murni yang sangat baik.

“Namun begitu, pihak radio perlulah lebih teliti dan cermat dalam perkara ini bagi mengelakkan daripada berulang perbuatan mengumandangkan azan awal dari waktunya pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihati umat Islam supaya sentiasa cermat dan berhati-hati berkaitan waktu berbuka puasa.

“Sentiasa rujuk kepada takwim berbuka puasa yang telah dikeluarkan oleh pihak yang berautoriti demi memastikan perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang,” beliau berkata.

Kesilapan teknikal itu dibuat seorang penyampai radio bagi segmen ‘Syoknya Hujung Minggu’, Mohd Safwan Junit, yang telah memohon maaf kepada warga Tawau yang terjejas menerusi satu catatan pada halaman Facebook peribadinya malam semalam.