
KOTA KINABALU, SABAH – Kedua-dua pelajar yang koma akibat meminum campuran ‘spirit’ dan air berkarbonat pada 6 jun lalu telah disahkan meninggal dunia.
Leo Castelo bin Jason, 17, disahkan meninggal dunia pada jam 4.08 petang pada Rabu di Hospital Queen Elizabeth 1 manakala Zammuel Martin, 17, disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang pada hari berikutnya di Hospital Queen Elizabeth 2.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Supt Zairolnizal Ishak, berkata kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Mayat mangsa tidak perlu bedah siasat memandangkan sebab kematian telah diperolehi dan kedua-dua mangsa meninggal semasa menerima rawatan.
“Sebab kematian Leo yang telah diberikan oleh pegawai perubatan ialah keracunan methanol poisoning dan kegagalan pelbagai organ.
“Sebab kematian Zammuel pula adalah kecederaan otak parah akibat keracunan methanol,” katanya dihubungi wartawan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Awam Sabah Dr. Asits Sanna berkata sehingga Khamis (15 Jun), sebanyak 48 notifikasi mangsa disyaki keracunan metanol telah diterima.
“Daripada jumlah ini, seramai 27 pelajar telah diklasifikasikan sebagai kes yang disahkan keracunan metanol berdasarkan kepada keputusan makmal,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau berkata keputusan sampel proxy untuk ujian peratus metanol dijalankan Jabatan Kimia Malaysia telah disahkan mengandungi 89 peratus kandungan metanol.