PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun ditahan selepas pihak berkuasa menemukan beberapa spesies hidupan liar disyaki dipelihara tanpa permit sah di sebuah premis di Kampung Nambazan, di sini.
Operasi itu dijalankan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah serta polis Penampang hasil maklumat awam.
Menurut kenyataan, suspek gagal mengemukakan dokumen kebenaran bagi pemilikan haiwan berkenaan seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.
Antara hidupan liar yang dirampas ialah rusa sambar, kijang, ayam pegar jambul Borneo, tiga ekor ayam pegar perak, dua landak, seekor landak raya serta seekor ular sawa batik.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM47,500. Kes disiasat di bawah Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.






