KOTA KINABALU: Keluarga mendiang Koperal Chiu Teck Siong, 41, yang maut akibat renjatan elektrik ketika memetik kelapa di Kampung Weston, Beaufort baru-baru ini, merayu bantuan kewangan dan sokongan moral daripada kerajaan serta wakil rakyat.
Memetik laporan Utusan Borneo, isterinya Tang Wei Wei, 39, berkata beliau kini berdepan kebimbangan besar terhadap masa depan lima anak mereka yang masih kecil selepas kehilangan pencari nafkah utama keluarga secara tiba-tiba.
Beliau turut berkongsi bahawa mendiang sepatutnya pulang ke Sibu, Sarawak pada 27 Ogos ini untuk meluangkan masa bersama keluarga, dengan kali terakhir bertemu anak-anak ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu.
Namun, hasrat untuk berkumpul semula tidak kesampaian apabila mendiang terkorban dalam insiden tragis itu.
Dalam kejadian pada 6 Ogos, tiga anggota polis maut selepas galah besi yang digunakan dipercayai terkena kabel elektrik.
Dua lagi mangsa ialah Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26, dan Konstabel Muhammad Nur Hafiz Ibrahim, 29.






