KOTA BELUD, SABAH – Seorang warga emas maut selepas kenderaan Toyota Unser yang dipandu beliau terbabas sendiri di bahu Jalan Pintas Ranau – Kota Belud berhampiran Simpang Kg Tombotuan lalu jatuh ke dalam gaung sedalam 80 kaki.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata panggilan kecemasan insiden terbabit diterima pada kira-kira pukul 8 pagi tadi.

Menurutnya, mangsa lelaki terlibat dikenal pasti sebagai Tambunan Asang, 75, ditemui dalam kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan Bomba berjaya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas dan mangsa dibawa naik ke kawasan selamat menggunakan pengusung…

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Operasi berlokasi 40 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Belud itu ditamatkan pada jam 10.06 pagi.





