Inisiatif Pemerkasaan Wanita Terus Digandakan

Inisiatif Pemerkasaan Wanita Terus Digandakan

0
SHARE
Nancy
Nancy ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook Menteri KPWKM )

PETALING JAYA, SELANGOR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mahu inisiatif pemerkasaan wanita terus digandakan, supaya mereka tidak tercicir dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial.

Memetik sumber Bernama, beliau berkata ramai daripada wanita berhadapan dilema, sama ada untuk meneruskan kerjaya atau berkorban dengan meninggalkan bidang pekerjaan, demi memikul tanggungjawab untuk berbakti kepada keluarga.

“Walaupun wanita mendominasi lelaki di universiti, tetapi hanya 56.2 peratus daripada populasi wanita bekerja, berbanding 81.9 peratus lelaki.

“Wanita dalam lingkungan umur 30 hingga 39 tahun lebih cenderung meninggalkan kerjaya mereka secara tetap kerana komitmen keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024, di sini, semalam.

Turut hadir pada majlis sambutan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta jemaah menteri.

Nancy berkata wanita berusia 60 tahun, adalah majoriti penerima bantuan kewangan oleh kerajaan kerana tidak mempunyai jaringan keselamatan ekonomi.

Selain itu, beliau berkata Bank Dunia pada minggu ini melaporkan bahawa, sekiranya semua halangan ekonomi bagi wanita dimansuhkan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dapat meningkat sebanyak 20 peratus.