KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata unit Marin yang ditubuhkan di bawah Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) akan meningkatkan perkhidmatan luar pesisiran dan daratan pelabuhan sekali gus meningkatkan kecekapan syarikat itu.
Katanya, unit tersebut yang ditubuhkan pada tahun lepas akan menyokong perniagaan SPSB melalui penyediaan perkhidmatan sampingan dan nasihat marin.
“Sebuah Pusat Setempat turut ditubuhkan sebagai sebuah pusat pemprosesan, selain mewujudkan kemudahan dan nilai tambah untuk para pelanggan,” kata Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah.
Katanya hala tuju ini selaras dengan menaik taraf perkhidmatan pelabuhan dalam memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada industri dengan menawarkan solusi marin yang dipertingkatkan dan bersepadu.
“Perkhidmatan seperti kapal tunda pelabuhan, tundaan dan tarikan dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat,” katanya…
Bung Moktar berkata skop Unit Marin ini menawarkan pelbagai perkhidmatan marin yang merangkumi bantuan hidrografi dan navigasi, kawalan lalu lintas marin dan armada marin.
“Sejak ditubuhkan, projek utama Unit Marin ini termasuklah menstrukturkan pasukan Pengawal Trafik Marin untuk mengendalikan Sistem Pemantauan dan Maklumat Trafik Kapal (VTMIS),” katanya.
Katanya kerjasama dengan Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, VTMIS turut berfungsi untuk meningkatkan keselamatan pelayaran dalam had kawasan perairan pelabuhan Sabah melalui pengawasan dan pemantauan, meningkatkan kecekapan dalam pergerakan lalu lintas serta melindungi persekitaran marin.
Katanya unit itu turut memainkan peranan penting dalam menjayakan penyertaan sulung SPSB dalam operasi bunker gas asli cecair (LNG) dengan menyediakan perkhidmatan sokongan marin selepas SPSB dilantik sebagai Penyedia Perkhidmatan Utama bagi operasi bunker LNG pertama PETRONAS di Sabah.
Beliau berkata Unit Marin juga telah berjaya menubuhkan Pangkalan Utama Offshore Pelabuhan Kota Kinabalu yang menyediakan kemudahan asas kepada pengeluar minyak dan gas di Pelabuhan Kota Kinabalu.
“SPSB turut melihat peluang untuk memanfaatkan kedudukan strategik Sandakan di antara Australia dan negara-negara Asia Timur dengan menyediakan perkhidmatan marin sampingan kepada kapal-kapal laut yang melalui laluan sibuk ini,” katanya.
Bung Moktar berkata penubuhan unit itu seiring dengan pengembangan Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP) dalam menampung jangkaan peningkatan jumlah dan saiz kapal serta aktiviti pemindahan sebaik sahaja fasa awal memperluas SBCP selesai.
“Unit Marin ini akan memudahkan perjalanan kapal yang ingin berlabuh dan bertolak. Ini akan memberi kelebihan dan tarikan kepada kapal-kapal luar,” katanya.
Katanya sebanyak RM 1.03 bilion telah diperuntukkan untuk projek mega SBCP termasuklah memanjangkan jeti daripada 500 meter kepada 1 kilometer bagi membolehkan lebih banyak kapal berlabuh.
Beliau berkata projek itu telah dimulakan pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
“Kapasiti pengendalian terminal juga akan diperluas daripada 500,000 TEU kepada 1.25 juta TEU. Kira-kira 13 hektar tanah akan ditebus guna untuk projek ini termasuk memperluas tapak ruangan bagi kontena,” katanya.
Dengan kapasiti itu, katanya SBCP akan dapat mengendalikan kapal laut utama jenis generasi kelima untuk memenuhi strategi rangkaian ‘hub and spoke’ dan kapal pengangkut dari pelabuhan muatan ke pelabuhan transit di sekitar rantau ini.
SPSB merupakan anak syarikat milik penuh Suria Capital Holdings Berhad, yang mengambil alih pengurusan pelabuhan di negeri ini daripada Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah bermula 1 Sept 2004, dan pada masa ini menguruskan lapan pelabuhan di Sabah.