WASHINGTON, AS – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menawarkan ganjaran sebanyak AS$1 juta (RM4.2 juta) kepada mana-mana individu yang boleh memberikan penyelesaian berkesan mengenai isu makanan angkasawan ke Planet Marikh.
Menurut akhbar Daily Star UK, NASA memerlukan idea untuk memastikan makanan yang dibekal menggunakan sumber paling minimum, tahan lama dan menghasilkan najis yang sedikit.
Cabaran ‘Deep Space Food Challenge’ itu merupakan sebahagian daripada persediaan NASA dalam misi menakluki Planet Marikh dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Sebagai sebahagian daripada misi menghantar angkasawan ke Marikh, NASA dan Agensi Angkasa Kanada (CSA) memberi tumpuan kepada cara untuk memberikan angkasawan-angkasawan sistem makanan yang berdaya maju untuk semua misi planet bagi jangka masa panjang,” kata NASA dalam pengumuman di laman web rasmi.
Fasa satu pertandingan menyaksikan 18 pasukan akan diberi peruntukan berjumlah AS$450,000 (RM1.9 juta) pada Oktober akan datang.
Peringkat pertama menyaksikan reka bentuk daripada tumbuh-tumbuhan dan kulat sehinggalah kepada teknologi yang boleh menghasilkan makanan sedia untuk dimakan seperti roti dan serbuk dehidrasi yang berpotensi diproses menjadi makanan.
Cadangan juga dibuat untuk makanan yang dijana menerusi teknologi seperti sel daging kultur untuk ditanam atau dihasilkan oleh krew di atas kapal angkasa.
Sebuah syarikat, BeeHex, mencetak piza 3D di angkasa manakala Syarikat Air sedang cuba membuat goncangan protein angkasa dalam usaha memberi protein dan mikrob dalam minuman tersebut.
NASA turut menggesa pasukan baharu dan sedia ada untuk memasuki Fasa 2 pertandingan itu.
Pentadbir Bersekutu untuk Direktorat Misi Teknologi Angkasa NASA, Jim Reuter, berkata, usaha yang sedang dijalankan itu pada masa yang sama, dapat membantu penduduk Bumi dengan menawarkan pek makanan tahan lama terutama ketika musim bencana.
“Penghasilan makanan daripada cabaran ini bukan sahaja akan memanfaatkan angkasawan tetapi penduduk Bumi secara amnya,” ujar Reuter.





