KUALA LUMPUR – Isteri kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta kata seorang saksi.
Perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini semalam bahawa Zizie memperkenalkan suaminya untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Sumber Bernama melaporkan Norhaili sebagai berkata, bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie Izette itu adalah strategi pemasaran apabila wanita itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan FELCRA untuk membuat pelaburan sama.
“Saya menghubungi Datin Seri (Zizie Izette) mengatakan pelaburan FELCRA RM150 juta yang dibuat telah berjaya dan pada masa sama, saya mendapat komisen daripada pelaburan itu…
“Saya kemudian beritahu kepada Datin Seri yang saya ingin memberikannya wang pengenalan itu,” katanya.
Norhaili berkata beliau dan seorang lagi ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 43, masing-masing memperoleh komisen RM2.9 juta.
“Apabila mendapat komisen itu, saya dan Madhi berbincang tentang pengurusan komisen itu dengan mengambil kira faktor seperti pengurusan pelaburan FELCRA dan kos operasi jangka panjang kerana pelaburan ini mengambil tempoh lebih tujuh tahun untuk matang dan kami juga ambil kira kos cukai untuk diuruskan dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Menurutnya, wang pendahuluan RM2.2 juta itu diberikan dalam bentuk tunai di Public Bank Melawati dan diuruskan Madhi.
“Selebihnya RM800,000 dimasukkan semula ke dalam Public Mutual Berhad atas nama Datin Seri Zizie Izette…
“Jumlah itu tidak besar untuk penjagaan akaun FELCRA bagi jangka masa panjang. Ia wang pengenalan layak untuk Datin Seri,” kata Norhaili.
Norhaili merupakan saksi pendakwaan ke-25 dalam perbicaraan kes rasuah dihadapi Bung Moktar dan isterinya Zizie Izette di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Pemeriksaan utama dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How.
Law bertanya mengapa pihak Public Bank hanya membayar RM2.2 juta sedangkan RM2.8 juta sepatutnya dibayar Zizie Izette?
Norhaili berkata ketika itu Public Bank tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi.
“Saya juga telah menasihatkan Datin Seri untuk membuat pelaburan antara RM600,000 hingga RM800,000 Public Mutual Berhad dan ia diuruskan oleh Madhi dan seorang lagi konsultan Public Mutual,” kata Norhaili.
Bagaimanapun, Norhaili tidak dapat mengingati berapa jumlah cek yang telah dikeluarkan namun berkata pada cek tersebut tertera nama Public Mutual Berhad dan nombor kad pengenalan Zizie Izette.
Norhaili berkata, tiada elemen rasuah dan permintaan rasuah daripada Bung Moktar atau isterinya Zizie Izette.
“Wang RM2.8 juta yang diberikan kepada pelakon itu bukan rasuah, sebaliknya adalah wang pengenalan,” katanya.
Norhaili akan menyambung keterangannya pada 14 Feb ini. Pada prosiding itu, peguam Datuk K Kumaraendran mewakili Zizie Izette dan M Athimulan bagi Bung Moktar.





