JEDDAH: Jaguh muay thai negara, Johan Ghazali, dilaporkan terkandas di Mekah bersama keluarganya selepas penerbangan pulang ke Malaysia dibatalkan susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah.
Perkara itu dikongsikan Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo menerusi Instagram Story peribadinya, yang memaparkan keratan berita mengenai pembatalan beberapa penerbangan Malaysia Airlines antara Kuala Lumpur dan Doha, Jeddah serta Madinah pada 28 Februari dan 1 Mac 2026.
“Sepatutnya balik esok,” tulisnya ringkas.
Beliau turut memuat naik makluman e-mel pembatalan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang dijadualkan berlepas pada jam 7.10 malam.
Walaupun berdepan situasi tersebut, Johan dilihat mengambil kesempatan untuk memperbanyakkan ibadah di Tanah Suci.
“Lebih banyak masa di sini,” kongsinya lagi.
Atlet berkenaan juga meneruskan rutin latihan ketika waktu sahur dengan berlatarbelakangkan Menara Jam Diraja Mekah, sekali gus menunjukkan komitmennya terhadap kecergasan meskipun berada di luar negara.
Dalam perkembangan lain, kira-kira 55 jemaah umrah warga Malaysia di bawah kendalian sebuah agensi turut dilaporkan terkandas di Jeddah selepas penerbangan pulang yang dijadualkan pada awal pagi Sabtu dibatalkan.
Pembatalan penerbangan itu dibuat susulan penutupan ruang udara di beberapa kawasan di Timur Tengah.
Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa memantau perkembangan semasa dan keadaan di rantau berkenaan.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi konsulat itu, situasi di seluruh Arab Saudi ketika ini adalah selamat dan terkawal, namun rakyat Malaysia di negara berkenaan dinasihatkan agar sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan kekal tenang.
Konsulat juga memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa tempatan dan akan menyalurkan sebarang perkembangan penting yang memerlukan tindakan lanjut dari semasa ke semasa.






