KUALA LUMPUR – MIC akan mengadakan mesyuarat tergempar esok yang dipercayai berkaitan dengan pendirian parti itu, dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ia disahkan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran ketika dihubungi Bernama malam tadi bahawa, mesyuarat itu akan diadakan di ibu pejabat MIC di sini, pada 10 pagi.
“Ya kita akan ada buat mesyuarat esok pagi, 10 pagi,” katanya tanpa mahu mengulas butiran perbincangan mesyuarat itu.
Berdasarkan pemerhatian Bernama pada Majlis Pengumuman Calon Barisan Nasional (BN) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini, tiada wakil MIC yang hadir.
BN terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Sumber MIC berkata mesyuarat tersebut akan membincangkan keputusan parti itu mengenai PRU15.
“Apa pun, pendirian MIC mengenai PRU15 akan diputuskan esok (2 Nov),” menurut sumber itu.
MIC dilaporkan bercadang untuk bertanding di 12 kerusi Parlimen pada PRU15.
Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor); Port Dickson (Negeri Sembilan); Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).