JaPen Sabah Perkasa Peranan Depani Demam Denggi – Jainisah

JaPen Sabah Perkasa Peranan Depani Demam Denggi – Jainisah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Selepas Covid-19, Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Sabah sekali lagi akan memperkasakan peranannya mendepani wabak demam denggi.

Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor menyatakan komitmen itu selepas mengadakan pertemuan sulung dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr. Safar Untong di Menara Kinabalu.

Ujar Jainisah, pihaknya akan bekerjasama dengan semua agensi serta jabatan kerajaan negeri dalam usaha membendung wabak yang kini mengancam kesihatan masyarakat di Sabah.

“Sebagai jabatan yang mempunyai akses kepada masyarakat akar umbi, kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membantu meningkatkan kefahaman masyarakat berkaitan isu-isu semasa sama ada isu keselamatan, sosial, ekonomi dan sebagainya.

“Dalam menghadapi wabak demam denggi ini, kita akan memperkasakan lagi peranan jabatan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat untuk membendung penyakit ini…

“Ini termasuklah hebahan melalui unit bergerak di seluruh daerah di Sabah untuk mengingatkan masyarakat supaya membersihkan kawasan persekitaran dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), terdapat tiga kematian dilaporkan daripada 4,055 kes demam denggi yang direkodkan sejak Januari hingga September tahun ini.

“Daripada laporan JKNS, kita dapati lima daerah utama menjadi penyumbang kepada peningkatan 241 peratus bagi tempoh sama tahun lalu iaitu Sandakan diikuti Kota Kinabalu, Tawau, Lahad Datu dan Putatan.

“Oleh itu, kita berharap seluruh lapisan masyarakat akan memikul tanggungjawab membendung wabak ini daripada terus merebak demi kesihatan diri, keluarga dan orang di sekitar kita,” jelas beliau.

Jainisah yang dilantik sebagai Pengarah Penerangan Sabah yang ke-16 berkuatkuasa 26 September lalu sekali gus meneruskan legasi kepimpinan wanita menggantikan Nadzerah Abdullah yang bersara wajib.

Hadir mengiringi beliau ialah Timbalan Pengarah Penerangan, Supian Musa, Ketua Penolong Pengarah Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Azman Sipan dan Ketua Penolong Pengarah Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Busmin Brahim.