Penstrukturan Baharu PGRS Perkukuh Parti, Mantapkan GRS Hadapi Cabaran Politik – Nizam

Penstrukturan Baharu PGRS Perkukuh Parti, Mantapkan GRS Hadapi Cabaran Politik – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penstrukturan semula Parti Gagasan Rakyat Sabah daripada 74 bahagian kepada 26 disifatkan sebagai langkah strategik bagi memperkukuh gerak kerja parti, memantapkan penyelarasan organisasi serta memastikan parti lebih bersedia menghadapi cabaran politik semasa.

Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pindaan yang akan dibawa dalam Persidangan Agung Khas parti di bawah Fasal 16.1 itu bukan sekadar perubahan struktur, sebaliknya usaha memperkukuh kekuatan parti di semua peringkat.

Menurut beliau, struktur yang lebih tersusun diyakini mampu mengurangkan pertindihan gerak kerja, mempercepat penyampaian arahan dan memastikan tenaga serta sumber parti digunakan secara lebih cekap dan berkesan.

“Penstrukturan daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian bukan sekadar perubahan angka. Ia adalah usaha memperkukuh gerak kerja parti supaya lebih fokus, lebih mudah diselaraskan dan lebih berupaya digerakkan secara menyeluruh di peringkat akar umbi.

“Melihat keadaan politik hari ini yang semakin mencabar, parti memerlukan organisasi yang bukan sahaja besar dari segi sokongan, tetapi juga kuat dari segi disiplin, penyelarasan dan keberkesanan jentera,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, penstrukturan itu juga perlu dilihat sebagai langkah memperkukuh perpaduan dalaman apabila kepimpinan dan jentera parti dapat bergerak secara lebih tersusun sebagai satu pasukan.

Katanya, penyusunan semula berkenaan bukan bertujuan mengurangkan peranan mana-mana pihak, sebaliknya menyusun kekuatan sedia ada agar PGRS terus relevan, responsif dan dekat dengan rakyat.

“Penstrukturan ini tidak harus dilihat sebagai pengurangan peranan mana-mana pihak. Sebaliknya, ia adalah penyusunan semula kekuatan agar PGRS terus menjadi parti tempatan Sabah yang lebih mantap, responsif dan dekat dengan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam yang juga Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah berkata, kekuatan PGRS amat penting dalam memastikan kestabilan GRS dan kerajaan negeri terus diperkukuhkan.

Beliau turut menyifatkan langkah berkenaan sebagai mencerminkan keberanian serta kebijaksanaan Presiden PGRS merangkap Pengerusi GRS, Hajiji Noor, dalam melakukan penyesuaian demi masa depan parti.

“Saya yakin penstrukturan ini akan menjadikan PGRS lebih bersedia, lebih tersusun dan lebih kukuh dalam meneruskan perjuangan membela rakyat serta mempertahankan kepentingan Sabah,” katanya.