Lori Bawa Barang Kawalan Tanpa Permit Ditahan, Rampasan Lebih RM9,000 di Beaufort

Lori Bawa Barang Kawalan Tanpa Permit Ditahan, Rampasan Lebih RM9,000 di Beaufort

0
SHARE

BEAUFORT: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan sebuah lori yang membawa pelbagai barang kawalan tanpa permit sah dalam satu operasi di Kampung Klias, Jalan Bypass, di sini, baru-baru ini.

Dalam operasi kira-kira jam 3 petang itu, sepasukan anggota PPM Wilayah 4 Sabah menahan dan memeriksa lori berkenaan selepas mendapati kenderaan itu berada dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa pelbagai barang kawalan yang disyaki disimpan dan dibawa tanpa kebenaran sah di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Antara barang yang ditemui ialah tong gas LPG, gula pasir jenama Prai, minyak masak jenama Rusa Terbang, minyak masak jenama Udang Emas serta minyak petrol.

Pemandu lori terbabit, seorang lelaki warga tempatan berusia 52 tahun gagal mengemukakan permit membeli, membawa dan menyimpan minyak petrol yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Susulan itu, pihak polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan lanjut dan turut merampas semua barang kawalan terbabit dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM9,218.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurut kenyataan itu, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha penguatkuasaan demi keselamatan negara.