Jangan Manipulasi Fakta Isu Tangkapan Pelajar Sekolah Alternatif – Azrul

Jangan Manipulasi Fakta Isu Tangkapan Pelajar Sekolah Alternatif – Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Orang ramai diingatkan agar tidak memanipulasi fakta berhubung isu penangkapan seorang pelajar sekolah alternatif di Sabah yang tular di media sosial, kata Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Azrul Ibarhim.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat sedia ada termasuk rujukan kepada rekod Kad Vaksinasi pada 2020, individu terbabit dianggarkan berusia sekitar 19 tahun, sekali gus menolak dakwaan bahawa individu itu masih berstatus kanak-kanak.

“Ini secara jelas menunjukkan bahawa naratif yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak kononnya individu tersebut masih berstatus kanak-kanak adalah tidak tepat dan mengelirukan,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Menurutnya, dakwaan bahawa individu berkenaan berasal daripada komuniti Bajau Laut juga tidak dapat dimuktamadkan berikutan ketiadaan dokumen rasmi, menjadikan soal identiti termasuk latar belakang bangsa atau kewarganegaraan sebagai perkara yang kompleks dan memerlukan siasatan pihak berkuasa.

“Justeru, isu ini perlu dilihat berasaskan fakta dan peruntukan undang-undang, bukan sentimen atau naratif yang dibina tanpa asas yang kukuh,” katanya.

Azrul turut menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk memanipulasi kenyataan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung perlindungan kepada komuniti Bajau Laut bagi memutarbelitkan fakta kes.

“Prinsip perlindungan kepada mana-mana komuniti tidak pernah sama sekali bermaksud undang-undang negara boleh diketepikan,” katanya.

Beliau berkata, dalam mana-mana negara berdaulat, dokumen pengenalan diri merupakan asas kepada pentadbiran undang-undang dan keselamatan negara, dan kes seperti ini disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Isu hak asasi manusia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengatasi atau mengabaikan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional serta menghentikan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Biarlah kes ini ditangani dan diadili mengikut lunas undang-undang negara,” katanya.