Insentif RM807,050 Hargai Atlet Sabah, RM3.1 Juta Geran Tahunan
KOTA KINABALU: Atlet Sabah yang mengharumkan nama negeri dan negara sepanjang tahun 2025 terus mendapat pengiktirafan apabila Kerajaan Negeri menyalurkan insentif kemenangan berjumlah lebih RM800,000, selain memperuntukkan RM3.1 juta geran tahunan kepada 51 persatuan sukan bagi tahun 2026.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, keseluruhan insentif yang disampaikan pada majlis berkenaan adalah sebanyak RM807,050.
“Daripada jumlah itu, RM269,850 adalah insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa untuk sukan ‘able’, manakala RM537,200 bagi pencapaian atlet PARA.
“Ini adalah tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap usaha dan pengorbanan atlet kita,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Skim Insentif Kemenangan Sukan Kebangsaan dan Antarabangsa 2025 serta Majlis Penyerahan Geran Persatuan Sukan Negeri Sabah 2026, di sini, semalam.
Beliau menegaskan, pemberian insentif tersebut bukan sekadar ganjaran kewangan, sebaliknya satu pelaburan strategik untuk melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia dari Sabah.
“Walaupun jumlah ini besar, ia sangat berbaloi demi terus menarik minat dan penyertaan anak-anak muda dalam bidang sukan. Atlet hari ini adalah generasi yang akan memacu masa depan negeri dan negara,” ujarnya.
Dalam majlis sama, kerajaan negeri turut menyalurkan geran tahunan berjumlah RM3.1 juta kepada 51 persatuan sukan yang masih sah pendaftaran di bawah Pesuruhjaya Sukan bagi tahun 2026.
Menurut Nizam, pengeluaran geran adalah berdasarkan permohonan program serta tertakluk kepada Tatacara Penyaluran Geran Tahunan yang telah diluluskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam pengurusan peruntukan.
“Gunakan bantuan kewangan ini secara efisien dan bertanggungjawab. Ini adalah duit rakyat yang amat berharga dan mesti diterjemahkan dalam bentuk pembangunan atlet yang berkesan,” tegasnya.
Beliau turut menyatakan komitmen kementerian untuk merealisasikan penubuhan Pusat Sukan Negeri Sabah bagi latihan berprestasi tinggi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pusat latihan di luar negeri dan memperkukuh kebajikan atlet tempatan.
Selain itu, beliau mengingatkan semua persatuan agar mempraktikkan Kod Sukan Selamat (KSS) bagi memastikan persekitaran sukan yang selamat serta bebas daripada salah laku termasuk gangguan seksual dan penyalahgunaan kuasa.
Mengakhiri ucapannya, Nizam merakamkan tahniah kepada semua penerima insentif dan menggesa atlet yang belum berjaya supaya tidak berputus asa, sebaliknya terus berlatih dengan disiplin dan semangat juang tinggi demi mengangkat martabat sukan Sabah ke tahap lebih gemilang.






