Nor Farah Sasar Kejohanan World Beach Pencak Silat, Sukan SEA Kemboja

Nor Farah Sasar Kejohanan World Beach Pencak Silat, Sukan SEA Kemboja

0
SHARE
Nor Farah (kiri) dan Mohammad Amiruddin...

KOTA BELUD, SABAH – Pesilat negara dari Kota Belud Nor Farah Mazlan, yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam Kejohanan Dunia Pencak Silat 2022 di Melaka baru-baru ini berazam untuk terus mencipta kejayaan yang lebih besar dalam Kejohanan World Beach Pencak Silat pada bulan Disember di Filipina dan juga Sukan SEA 2023 di Kemboja.

“Gembira tapi saya ingatkan diri supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan ini dan akan terus cuba buat lebih baik lagi dalam pertandingan akan datang,” kata Nor Farah, 24 yang berasal dari Kg Taun Gusi, Kota Belud.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu mengakui terpaksa berehat lebih setahun akibat kecederaan yang dialaminya ketika menjalani latihan seawal tahun 2018, ditambah dengan pandemik Covid-19 yang mengekang sebarang aktiviti latihan.

“Selepas sembuh sepenuhnya, saya jalani latihan intensif dua bulan sebelum kejohanan di bawah kendalian Cikgu Mazlan Shaari, Cikgu Hamidah Mulok dan seorang jurulatih bbaharu Cikgu Ahmad Wardi Salim di Bukit Jalil sebelum kami pindah ke Nilai, Negeri Sembilan.

“Selepas ini, saya sasarkan untuk bertanding dalam Kejohanan World Beach Pencak Silat pada bulan Disember di Filipina dan juga Sukan SEA 2023 di Kemboja,” kata Nor Farah yang berjaya menewaskan pesaing dari Singapura, Nadhrah Sahrin dengan keputusan 25-23 sekali gus merebut gelaran juara dalam kategori Kelas F Puteri.

Manakala rakannya, Mohammad Amiruddin Adzmi, 35, dari Kg Menunggui terpaksa berpuas hati apabila merangkul pingat gangsa dalam kejohanan sama bagi Kategori Lelaki Kelas H, selepas tewas kepada pesilat Vietnam, Nguyen Duy Tuyen 56-12 di peringkat separuh akhir.Tidak berputus asa, Mohammad Amiruddin juga bertekad untuk memperbaiki permainannya sebagai persiapan menyertai kejohanan pada masa akan datang.

“Kekurangan yang perlu saya perbaiki seperti teknik tangkapan, jatuhan, tendangan dan untuk menajamkan teknik ini bukan senang, perlu makan masa bertahun baru boleh jadi sempurna…

“Saya pun ingin merasa dapat pingat emas dan selepas ini, saya akan buat lebih baik lagi pada Kejohanan World Beach Pencak Silat 2022 dan Sukan SEA 2023 nanti,” ujarnya