Covid-19 Menyatukan Semua Dalam Irama

Covid-19 Menyatukan Semua Dalam Irama

0
SHARE
Drumline
Antara aksi dalam persembahan drumline di padang Merdeka sempena Sambutan Hari Pahlawan 2023 ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Persembahan drumline gabungan pasukan pertahanan negara berjaya mencuri tumpuan ribuan pengunjung Sambutan Hari Pahlawan, di Padang Merdeka, semalam.

Paling ketara, para pengunjung kelihatan sangat teruja melihat aksi wakil-wakil pasukan melambungkan drum mace atau tongkat drum major semasa persembahan berlangsung.

Tidak kurang juga, ramai yang bertepuk tangan sambil bersorak apabila drum mace itu berjaya dapat ditangkap kemas oleh pemain terbabit.

Mendalami persembahan berkenaan, kru JAPEN menemukan Pengarah Pancaragam Polis Kontinjen Sabah, Inspektor Willbonoh Zain selaku koreografi yang memimpin slot drumline.

Menurut anak jati Ranau itu, persembahan dengan kekuatan 22 anggota termasuk pemuzik simpanan telah menjalani sesi latihan di Padang Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah selama seminggu.

“Dalam persembahan ini, tiga anggota menggunakan drum major, queen tom seorang player, bass drum dua pemain manakala 13 anggota lagi bermain side drum.

“Jumlah semua pemain ialah 19 orang, seorang pemain simpanan dan saya sendiri sebagai pengarah muzik untuk durasi enam minit.

“Formasi perjalanan drumline ialah idea saya sendiri, manakala pattern ketukan drum / percussion saya gabungkan dari setiap jabatan dan ada juga idea saya sendiri.

“Sebab persembahan ini adalah gabungan jadi saya minta elemen-elemen daripada setiap jabatan supaya ada input daripada setiap pasukan,” kongsinya.

Signifikannya, persembahan secara gabungan memerlukan persefaham dan komitmen yang tinggi untuk menghasilkan sinergi irama, rentak dan formasi yang seragam serta harmoni seperti mana kerjasama erat dan padu yang ditunjukkan semasa frontliners ini berjuang menentang Coronavirus (Covid-19) sejak 18 Mac 2020.

Dalam kata lain, Covid-19 itu menyatukan tiga pasukan keselamatan negara bergabung dalam irama dan dipersembah dalam persembahan drumline. — JABATAN PENERANGAN SABAH