Jabatan Imigresen Malaysia Hantar Pulang 143 PATI Warga Indonesia

Jabatan Imigresen Malaysia Hantar Pulang 143 PATI Warga Indonesia

0
SHARE

TAWAU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Tawau hari ini menghantar pulang 143 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ke negara asal melalui pelabuhan Tawau, tengah hari tadi.

Memetik laporan Bernama, Ketua Pejabat JIM Tawau, Noraini Rasi dipetik berkata bahawa kesemua PATI berusia lingkungan 13 hingga 69 tahun dan terdiri daripada 139 lelaki dan empat wanita itu dihantar pulang pada pukul 12 tengah hari.

“PATI yang diusir ini adalah yang ditangkap di Lahad Datu, Semporna dan Tawau serta tahanan yang selesai menjalani hukuman di penjara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noraini berkata pengusiran PATI akan dilakukan dari semasa ke semasa dan operasi menangani kehadiran PATI di negeri ini akan terus giat dilaksanakan.

Beliau turut meminta masyarakat menyalurkan maklumat kepada JIM sekiranya mengetahui tempat-tempat persembunyian PATI di negeri ini khususnya di Tawau dan daerah sekitar.