KOTA KINABALU: Seorang lelaki hari ini dituduh di Mahkamah Majistret membabitkan kes pembunuhan seorang wanita di Sepanggar pada 11 Februari lalu.
Tertuduh, Piluta Samad, 71 tahun dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil dari Piluta selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Majistret Dzul Elmy Yunus kemudian menetapkan 15 April 2026 bagi sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, forensik, patologi dan Asid Deoksiribonukleik (DNA).
Kes dikendalikan Pendakwa Raya, Kareena Kaut Gill Katamjit Singh.
Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita tanpa dokumen dikenali sebagai Hamidah Husin ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuh dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar.
Kes itu terbongkar kira-kira jam 6.30 pagi apabila seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa.
Beberapa tangkapan susulan kemudian dilakukan bagi membantu siasatan sehingga kertas siasatan dilengkapkan untuk tindakan lanjut.






