KUALA LUMPUR: Menjadikan perjalanan hidupnya sebagai inspirasi, penyanyi Hafiz Suip kembali mewarnai industri muzik tanah air menerusi single terbaharu berjudul Yang Engkau Mahukan, sebuah karya yang disifatkannya cukup peribadi dan dekat dengan kisah dirinya.
Selepas 17 tahun bergelar penyanyi profesional sejak menjuarai Akademi Fantasia Musim 7 pada 2009, Hafiz mengakui tetap berasa gugup setiap kali melancarkan karya baharu, apatah lagi dalam suasana industri yang semakin kompetitif dengan kemunculan ramai penyanyi solo lelaki.
Single terbitan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd bersama Sony Music Entertainment Malaysia itu merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Ajai, sekali gus mempertemukan semula Hafiz dengan komposer tersohor berkenaan yang pernah melahirkan beberapa karya bermakna buatnya.
Menurut Hafiz, keunikan melodi dan susunan muzik yang tidak statik menjadi antara sebab beliau terus memilih Ajai sebagai komposer.
Namun, beliau tetap memikirkan reaksi serta jangkaan peminat terhadap lagu tersebut yang dianggap sebagai hadiah istimewa buat mereka yang setia menantikan kemunculan single baharunya.
Lebih bermakna, Hafiz yang baru mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 13 Februari lalu menjelaskan bahawa Yang Engkau Mahukan sarat dengan emosi dan refleksi kehidupan peribadinya.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada pendengar untuk menafsirkan mesej lagu itu mengikut pemahaman masing-masing.
Mengulas proses rakaman, Hafiz berkata beliau terlebih dahulu ‘bertapa’ di studio bersama Ajai bagi memperhalusi konsep dan hala tuju lagu.
Rakaman vokal dilakukan sebanyak dua kali selepas komposer itu menaikkan satu ‘key’ suara bagi menyesuaikan dengan karektor serta dinamika vokalnya.
Sementara itu, Ajai memuji tahap persediaan dan kematangan Hafiz yang semakin terserlah, terutama dari sudut teknikal dan penghayatan.
Menurutnya, keseluruhan proses pembikinan lagu tersebut mengambil masa kira-kira sebulan bermula daripada perbincangan konsep sehingga siap sepenuhnya.
Single Yang Engkau Mahukan kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music sejak 16 Januari lalu, dengan harapan ia mampu menyentuh rasa dan terus tersemat dalam jiwa para pendengar.






