PITAS: Seorang lelaki berusia 57 tahun disahkan meninggal dunia selepas dikhuatiri lemas ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di pesisir pantai Kampung Rosob, di sini malam, semalam.
Mangsa, dikenali sebagai Muslim Masapi dilaporkan hilang sekitar jam 11 malam pada 1 Mei 2025 ketika berada di pantai bersama anaknya.
Kehilangan mangsa disedari apabila tidak kembali ke rumah dan usaha awal mencari mangsa oleh keluarga tidak membuahkan hasil.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 11.58 pagi tadi melalui talian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas.
“Seramai tujuh anggota dari BBP Pitas digerakkan ke lokasi dengan kekuatan satu jentera FRT dan sebuah pacuan empat roda (DMax), tiba di tempat kejadian pada jam 12.08 tengah hari.
“Operasi mencari dan menyelamat turut dibantu oleh lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 10 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Mangsa akhirnya ditemui pada jam 1.55 petang, kira-kira 200 meter dari lokasi beliau dilaporkan hilang, dalam keadaan tidak sedarkan diri. Pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa mangsa telah meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Operasi disahkan tamat pada jam 2.25 petang selepas keadaan didapati selamat dan terkawal.
JBPM mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan merujuk kepada pihak berkuasa sekiranya ingin melakukan aktiviti di kawasan perairan, terutamanya pada waktu malam atau cuaca tidak menentu.