KINABATANGAN: Seorang lelaki berusia 38 tahun cedera selepas kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandunya dipercayai terbabas sendiri ke tepi jalan dalam satu kemalangan yang berlaku pagi tadi di Jalan Sukau, berhampiran Sekolah Kebangsaan Bilit, di sini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 8.17 pagi, sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 45 kilometer.
Menurut Komander Operasi, Jasmani Osni, seramai sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) telah digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 8.56 pagi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kereta Perodua Myvi telah terbabas ke bahu jalan. Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 38 tahun yang mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas penyelamat sebelum memberikan rawatan awal. Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi untuk tindakan lanjut.
“Mangsa telah dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” tambah beliau.
Operasi yang turut disertai oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.36 pagi setelah keadaan di lokasi disahkan selamat.