Vessel Bawa 150,000 Liter Petrol Tanpa Kebenaran Ditahan Di Sandakan

Vessel Bawa 150,000 Liter Petrol Tanpa Kebenaran Ditahan Di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Sebuah vesel yang disyaki membawa muatan minyak petrol tanpa kebenaran sah telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira 9.5 batu nautika dari barat laut Tanjung Bidadari, Rabu lalu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, penahanan dilakukan sekitar jam 5.15 petang oleh Kapal Maritim (KM) PERINGGI ketika melaksanakan beberapa operasi serentak.

“Pemeriksaan ke atas vesel mencurigakan itu mendapati ia dikendalikan lima kru terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga Filipina berusia antara 22 hingga 64 tahun, kesemuanya memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati vesel tersebut membawa kira-kira 150,000 liter minyak petrol tanpa sebarang kebenaran bertulis, dipercayai melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Berikutan itu, vesel terbabit ditahan di lokasi sekitar jam 5.30 petang sebelum diiring ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan tiba sekitar jam 11 malam untuk tindakan lanjut oleh Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.

“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan kawalan serta pelanggaran undang-undang di perairan negara.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan secara haram,” tegas beliau.