Wanita Cedera, Kereta Dipandu Terbabas dan Langgar Tiang Elektrik di Jalan Bugaya

Wanita Cedera, Kereta Dipandu Terbabas dan Langgar Tiang Elektrik di Jalan Bugaya

0
SHARE

SEMPORNA: Seorang wanita berusia 33 tahun mengalami cedera ringan selepas kenderaan yang dipandunya terbabas dan melanggar tiang elektrik dalam satu kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Bugaya, malam tadi.

Menurut kenyataan rasmi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 pada jam 9.19 malam dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipercayai terbabas sendiri sebelum melanggar tiang elektrik. 

“Seorang mangsa wanita didapati berada dalam kenderaan dan tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Komander Operasi, Abdul Jatin Jahiri berkata, pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas penyelamatan untuk mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan diberikan rawatan awal sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Semporna menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya.

Operasi turut dibantu oleh enam anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga kakitangan KKM dan dua petugas dari Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB). Seramai tujuh anggota bomba dengan kekuatan dua jentera – LFRT dan EMRS – terlibat dalam operasi tersebut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.17 malam selepas pihak bomba memastikan tiada sebarang risiko bahaya lain di lokasi kejadian.

Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika memandu, terutamanya pada waktu malam dan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.