BEAUFORT: Sukan memanah berperanan penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim serta meningkatkan kecergasan minda dalam kalangan warga pendidik, khususnya menerusi penganjuran pertandingan yang bersifat inklusif dan mengangkat nilai sukan warisan.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Ruslan Muharam, berkata penglibatan warga pendidik dalam aktiviti sukan seperti memanah bukan sahaja memberi manfaat dari segi kesihatan fizikal, malah membantu membentuk disiplin diri, fokus serta ketenangan mental.
Beliau berkata, sukan memanah memerlukan tahap konsentrasi dan kawalan emosi yang tinggi, sekali gus menjadi medium terbaik untuk merehatkan minda daripada rutin tugasan harian dalam bidang pendidikan.
“Selain aspek kesihatan, pertandingan sebegini turut menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim antara warga pendidik dari pelbagai daerah, seterusnya memupuk semangat kebersamaan dan perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Memanah Tradisional dan Moden Tertutup Kakitangan Pendidikan Negeri Sabah 2025 di Kolej Vokasional Beaufort, di sini, Sabtu lalu.
Menurut Ruslan, interaksi melalui aktiviti sukan juga mampu menyemai nilai kesukanan, saling menghormati serta kerjasama positif dalam kalangan peserta.
Dalam pada itu, beliau berkata penganjuran sukan memanah turut dilihat berupaya memperkenalkan serta memartabatkan sukan tradisional kepada generasi muda, sekali gus menyumbang kepada pembentukan jati diri dan pemeliharaan warisan budaya.
Pertandingan berkenaan disertai hampir 40 peserta dari pelbagai daerah di Sabah dan bertujuan mengasah bakat, mengeratkan silaturahim serta menarik minat golongan belia terhadap sukan memanah.






