KOTA KINABALU: Keluarga Allahyarham Mahamud Yunos, 61, yang meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal di persimpangan lampu isyarat Jalan Kolam pada Jumaat, memohon bantuan undang-undang bagi menuntut keadilan atas pemergian arwah.
Anaknya, Muhammad Suffian, 25, berkata beliau berada di Labuan ketika menerima khabar duka tersebut.
Menurutnya, selepas selesai majlis tahlil, keluarga akan mendapatkan khidmat guaman dan mengalu-alukan sesiapa yang mempunyai kepakaran untuk membantu.
Suffian turut memaklumkan bahawa beliau menghubungi orang ramai melalui media sosial bagi mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang hutang arwah, selaras dengan tuntutan agama.
Difahamkan, Allahyarham baru selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Falah, Kepayan sebelum kejadian berlaku.
Dalam ajaran Islam, wafat pada hari Jumaat, apatah lagi selepas menunaikan solat Jumaat, sering dianggap sebagai satu pengakhiran yang baik. Arwah dikenali sebagai seorang yang mesra dan aktif dalam kegiatan keagamaan setempat.
Tabung Darah Kota Kinabalu serta beberapa individu terkemuka turut menzahirkan ucapan takziah, memaklumkan bahawa Allahyarham telah menderma lebih 100 pain darah sepanjang hayatnya, satu amal jariah yang memberi manfaat besar kepada masyarakat.
Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Marintaman, Sipitang pada Sabtu. Arwah meninggalkan seorang isteri serta empat orang anak.
Rakaman kamera papan pemuka yang tular menunjukkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai memasuki lorong kanan sebelum merempuh motosikal mangsa sekitar jam 1.30 tengah hari (26 Disember). Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.






