TUARAN: UPKO menegaskan cadangan penggunaan logo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu dilihat secara matang dan selaras dengan semangat muafakat Pakatan Harapan (PH).
Ketua Pemuda UPKO Tuaran, Rayner Ebi berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi autonomi kepada PH Sabah untuk menentukan strategi politik sendiri, diketuai Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick.
“Cadangan guna logo parti bukan tanda kurang setia, tetapi strategi politik berasaskan identiti tempatan.
“PH sentiasa mengamalkan prinsip perbincangan dan kesepakatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau memberi contoh PRN Johor 2022, di mana PKR menggunakan logo sendiri manakala Amanah dan DAP menggunakan logo PH, menunjukkan kepelbagaian strategi dibenarkan.
Rayner menyatakan keyakinan bahawa isu itu akan ditangani dengan kebijaksanaan Majlis Presiden PH.
Beliau turut menegaskan UPKO kekal komited memperkukuh kerjasama dalam gabungan itu.






